Besarnya Dugaan. Tabahkanlah hatinya.
Salam,
Kita tidak tahu bagaimana perjalanan kehidupan kita pada masa akan datang. Kita meniti hari demi hari. Menghargai setiap detik yang ada bersama yang tersayang. Kadangkala kita lupa dan alpa. Bila kita lihat sesuatu berlaku di depan mata atau pada orang sekeliling kita, baru tersedar. Itu pun mungkin seketika. Entah dugaan bagaimana pula yang Allah akan uji nanti.
Takziah saya ucapkan pada teman sepejabat yang kehilangan ayah dan bonda dalam selang masa hanya 53 hari. Pada Aidilfitri lalu, ayahandanya pergi menemui ilahi. Teringat semasa saya berbual dengan beliau, mengenai keadaan ayahandanya. Dia bercerita, yang keadaan ayahnya agak uzur. Selang 2 minggu lewat perbualan kami, ayahnya dijemput tuhan.
Kali ini, ketika baru beberapa hari menyambut Aidil Adha, Bonda tercinta pula menghembuskan nafas terakhir. Terasa terngiang-ngiang, dia bercerita mengenai Bondanya yang semakin uzur. Aduhai sahabat, besarnya dugaan yang Allah beri buat mu adik beradik. Kehilangan yang tiada gantinya.
Sewaktu saya menziarahi arwah ibunya, saya sendiri tidak dapat menahan air mata ini dari tumpah. Biarpun semua sudah cukup dewasa, kehilangan Bonda tempat bermanja, cukup membuatkan hati tak keruan dan rasa kesedihan yang entah bila akan sembuhnya. Hati saya terasa pedih dan sedih lagaknya seperti sama merasa kehilangan mereka adik beradik.
Untungnya kita yang masih ada Ayah dan Bonda ini. Masih ada tempat bermanja walaupun usia dan semakin meningkat.
Hargai,sayangi & hormatilah Ayah dan Bonda kita. Tanpa mereka, siapa kita.
Begitu dengan diri saya, tanpa Mama & Papa saya, mana mungkin saya berdiri seberani ini. Mereka menyokong dan menyayangi saya tanpa henti biarpun berkali-kali saya kecundang dan mengecewakan mereka. Mereka penyokong kuat saya. Mereka adalah semangat saya . Kata teman sepejabat ” you ni, kalau nak buat apa-apa mesti ingat Mak & Ayah you yer. Mesti nak buat sebabnya adalah untuk mereka” dan saya hanya tersenyum bila mendengar komen begitu. Ketahuilah, mereka adalah sebahagian dari diri saya dan mereka adalah kawan baik saya. Tanpa mereka, siapalah saya dan sunyilah hidup saya..
Buat teman, semoga roh kedua Ayahanda dan Bonda awak, dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin. Alfatihah.
Kasih Tanpa Sempadan,
