You are here: Home › Article Manager

Kolostrum - Menjawab Persoalan Tiada Susu di Awal Kelahiran

0 25 July 2012 11:04 in Health by babynme

Kolostrum - Menjawab Persoalan Tiada Susu di Awal Kelahiran

 



Seringkali terdengar dialog "saya tiada susu selepas bersalin" atau "ibu saya kata susu saya sedikit sama seperti dia, sebab itu ibu belikan susu formula supaya bayi kenyang." Benarkah anggapan ini?

Saya terpanggil untuk menulis artikel ini kerana terlalu ramai ibu yang mengadu dan terus mengadu mengenai masalah tiada susu di hari-hari pertama kelahiran bayi mereka. Diharap selepas ini, segala persoalan anda akan terjawab dengan adanya sedikit penerangan pendek daripada saya melalui artikel ini.

Untuk makluman, di awal-awal kelahiran hanya sedikit susu yang agak likat dan pekat serta berwarna kuning yang juga dikenali sebagai kolostrum yang akan keluar. Kolostrum ini hanya akan keluar dalam kuantiti yang sedikit namun ianya cukup bagi memenuhi keperluan bayi yang baru lahir dalam 24 jam.

Bayi hanya memerlukan 60ml-100ml dalam tempoh 24 jam ini. Purata pengambilan kolostrum dalam tempoh 24 jam adalah hanya 37ml. Sangat sedikit jumlahnya namun ianya merupakan jumlah yang sangat sesuai dengan keadaan saiz perut bayi dan juga ketidakmatangan organ dalaman bayi seperti usus dan buah pinggang. Kandungan susu ibu ini akan bertambah dalam tempoh 36 jam yang berikutnya dan akan terus bertambah seiring dengan keperluan bayi.

Sebagai makluman, perut bayi yang baru lahir adalah sangat kecil dan contoh terdekat yang boleh dijadikan panduan untuk saiz perut bayi baru lahir ialah ianya hanya sebesar kacang.

Kolostrum ini akan keluar pada hari pertama - ketiga kelahiran dan ianya mempunyai pelbagai khasiat untuk bayi. Ia juga membantu bayi menghasilkan antibodinya sendiri. Bagaimana pula boleh hasilkan antibodi? Kerana di dalam kolostrum ada protein yang dikenali sebagai SIgA. Ia berfungsi sebagai antibodi dan hanya terdapat di dalam susu ibu sahaja.

Selain itu, kolostrum mengandungi 67 kalori bagi setiap 90ml kolostrum. Kandungan kalori ini amat diperlukan oleh bayi bagi membantu pertumbuhan bayi.

Kesimpulannya kolostrum di ibaratkan sebagai suntikan imunisasi pertama yang diperolehi oleh bayi sebaik sahaja dilahirkan dan mengandungi antibodi dan sel-sel hidup yang mampu menyelamatkan bayi sebelum diberikan imunisasi formal. Selain SIgA, ianya juga mengandungi Lactoferin, Lactalbumin, Glycoprotein, Cytokines dll yang mampu melawan virus, bakteria, jaundis, alergi dan toksin.

Oleh kerana susu ibu ini senang diserap dan senang juga dihadamkan, maka bayi akan cepat berasa lapar. Oleh itu susukanlah bayi anda dengan kerap (8-12 kali/24 jam) dan pastikan bayi anda memdapat susu awal dan juga susu akhir. Namun begitu, adalah diingatkan bahawa tangisan bayi yang baru lahir tidak membawa makna yang bayi anda lapar. Ianya mungkin kerana lampin basah, sakit perut, mahu tidur ataupun kerana bayi inginkan ibunya memeluk dia kerana bayi yang baru lahir berasa selamat dan sangat tenang bila mendengar degupan jantung ibu. Ini kerana sudah 9 bulan lamanya bayi anda mendengar degupan jantung anda dan bagi mereka , degupan jantung anda adalah irama yang sangat merdu dan indah.

Stimulasi kepada breast ataupun bahasa mudahnya penyusuan yang kerap dengan pengosongan susu ibu yang baik, akan membantu pengeluaran susu peralihan dan susu matang serta akan menjamin kejayaan anda dalam usaha untuk menyusukan bayi anda dengan susu ibu secara eksklusif (tanpa makanan dan minuman tambahan).

Kolostrum ini juga akan dapat membantu bayi anda mengeluarkan mekonium (najis bayi) yang berwarna hitam dan dapat membantu mengurangkan risiko menghidapi jaundis/penyakit kuning.

Last Modified: 25 July 2012 11:07
  • Visits: 1772
  • (Current Rating 0.0/5 Stars) Total Votes: 0
  • 0 0

No Comments Yet...

Leave a reply